hibah rumah


KUALA LUMPUR – Wasiyyah Shoppe Bhd. (Wasiyyah Shoppe) telah membantu seramai 45,000 pelanggan untuk menyediakan dokumen hibah hartanah yang masih bercagar (hartanah dalam pembiayaan).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, syarikat telah memperkenalkan kaedah hibah hartanah bercagar sejak tahun 2015.

“Pengenalan perkhidmatan ini bertujuan untuk memenuhi ke­perluan yang mendesak daripada ibu bapa yang membeli rumah secara pinjaman untuk menghibahkan rumah kepada anak-anak yang masih di bawah umur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Ariffin menjelaskan, apabila salah seorang atau kedua-dua pasangan ini meninggal dunia, rumah yang masih bercagar itu akan menjadi harta pusaka dan mempunyai hak waris mengikut hukum faraid ke atasnya.

“Melalui pengalaman operasi selama 17 tahun, kami mendapati, kebiasaannya pasangan dan anak-anak yang akan bertungkus lumus melangsaikan baki pinjaman kerana mereka menetap di rumah tersebut.

“Bagaimanapun, waris faraid yang lain biasanya hanya lebih berminat untuk menuntut hak selepas baki pinjaman dilangsaikan,” jelasnya.

Tambah beliau, perkhidmatan hibah hartanah bercagar Wasiyyah Shoppe membantu mengatasi cabaran tersebut dan hartanah yang telah dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka dan tidak perlu diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid.

“Sebagai penyedia dan pelaksana hibah hartanah bercagar paling berpengalaman di Malaysia, kami memegang prinsip kepatuhan syariah tanpa kompromi dalam pelaksanaan hibah kami.

“Semua kes hibah kami menggunakan instrumen patuh syariah dan dikuatkuasakan juga melalui Mahkamah Syariah.” tambah beliau.

0 comments:

Post a Comment

Followers

Popular Posts